Pelakon terkenal Hollywood, Robin Williams, 63, ditemui mati di kediamannya di Selatan California pada tengah hari Isnin, semalam.
Keputusan rasmi mengenai punca kematian belum dikenal pasti, namun polis mempercayai Robin telah membunuh diri melalui asphyxia (cekikan). Ini berikutan sejarah hidup Williams yang berdepan masalah tekanan perasaan serius sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Isteri beliau, Susan Schneider, berkata:
"Pagi ini saya kehilangan suami dan kawan baik, manakala dunia kehilangan seorang insan yang disayangi. Saya begitu bersedih dan sebagai mewakili keluarga Robin, saya mengharapkan kami diberi ruang untuk menghadapi saat-saat sukar ini. Dia akan sentiasa diingati. Semoga Robin akan diingati sebagai insan yang sentiasa menceriakan dunia,"
David Steinberg, pengurus beliau selama 35 tahun memberitahu:
Tiada siapa telah membuat dunia ketawa seperti Robin Williams. Adik lelaki saya, kawan saya dan teman sehati sejiwa saya.
Williams dikenali sebagai pelakon yang versatil dengan bakat membawakan watak-watak yang diberikan dengan begitu berkesan. Antara filem popular lakonannya adalah 'Mrs. Doubtfire', 'Good Will Hunting', 'Jumanji', 'Hook', 'Night At The Museum', Happy Feet' dan banyak lagi.